Laporan interim Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dibentang
PUTRAJAYA - Laporan Interim Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 telah dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa penasihat PPPTM 2025-2035 yang berlangsung di ibu negara semalam.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat jawatankuasa penasihat PPPTM itu dipengerusikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.
Antara ahli jawatankuasa penasihat terlibat ialah bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Tan Sri Idris Jusoh; Presiden dan Pengerusi PEMANDU Associates Datuk Seri Idris Jala; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes serta Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang serta 120 ahli mesyuarat yang terdiri daripada pengurusan tertinggi KPT dan Institut Pendidikan Tinggi, tokoh konglomerat, pemain industri utama negara serta pakar rujuk.
"Siri mesyuarat jawatankuasa penasihat PPPTM 2026-2035 Bilangan 2 Tahun 2024 adalah usaha untuk membangunkan pelan tindakan atau blueprint baharu yang bakal berakhir pada tahun hadapan.
"Mesyuarat jawatankuasa penasihat ini diadakan sebagai medium untuk Kumpulan Pakar membentangkan Laporan Interim PPPTM 2026-2035 yang menjelaskan perkembangan semasa pembangunan blueprint,” kata kenyataan itu.
Dalam mesyuarat kali ini, KPT memaklumkan ketua-ketua lonjakan membentangkan isu dan cabaran serta strategi yang diatur dalam 10 Lonjakan PPPTM 2026-2035 yang diterajui oleh Pengerusi Kumpulan Pakar Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail.
Setakat Oktober, Kumpulan Pakar yang dilantik telah melaksanakan 31 sesi libat urus yang melibatkan lebih 5,000 pemegang taruh dengan dibantu oleh pasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Bahagian Dasar dan Penyelidikan KPT.
"Sebanyak 1,816 maklum balas tinjauan nasional daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi telah dikumpul bagi mengenal pasti isu dan cabaran utama daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, KPT memaklumkan 10 lonjakan yang dibentangkan ini bersifat menyeluruh, lengkap dan mencakupi segala aspek ekosistem pendidikan tinggi.
"Antara elemen yang dicadangkan mengambil kira faktor ekonomi masa hadapan, faktor permintaan pasaran dan keberhasilan penyelidikan pendidikan tinggi. Panel penasihat juga seterusnya mencadangkan dasar ini disusul dengan pelan tindakan bagi memastikan kandungan dasar ini dilaksanakan seperti mana aspirasi yang diharapkan,” kata KPT.
Sehubungan itu, KPT berharap gabungan kepakaran dan maklum balas pelbagai pihak dapat menghasilkan sebuah pelan tindakan yang praktikal untuk dilaksanakan dan memberi impak strategik kepada pembangunan bakat bagi menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!