Penjawat awam rugi RM153,000 dijerat skim pelaburan tidak wujud
KUANTAN - Seorang penjawat awam nekad membuat dua pinjaman peribadi berjumlah RM140,000 daripada bank berbeza selepas terjerat tawaran pelaburan berasaskan bitcoin dalam talian yang menawarkan keuntungan sehingga 45 peratus.
Mangsa berusia berusia 45 tahun yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah agensi kerajaan juga menggunakan wang simpanan bagi tujuan itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, harapan mangsa untuk menikmati keuntungan hasil pelaburan besarnya itu tidak kesampaian sebaliknya terpaksa menanggung kerugian lebih RM153,000 apabila skim pelaburan disertai itu sebenarnya tidak wujud.
Menurutnya, mangsa berminat menyertai pelaburan berasaskan bitcoin selepas diperkenalkan seorang individu yang dikenali melalui aplikasi Tinder.
"Mangsa bersetuju untuk menyertainya tawaran tersebut dan telah menerima keuntungan hasil dua transaksi pelaburan awalnya.
"Suspek kemudiannya menawarkan peluang pelaburan dengan pulangan bonus sebanyak 45 peratus sekiranya mangsa menambah pelaburan RM100,000,"katanya.
Yahaya berkata, terpedaya dengan keuntungan diterima sebelum itu, mangsa nekad membuat pinjaman peribadi dan menggunakan wang simpanan bagi menambah wang pelaburannya itu.
"Dalam tempoh 28 Oktober hingga 6 November lalu, mangsa telah membuat lapan transaksi pemindahan wang melalui tiga akaun bank dipercayai milik suspek yang didaftarkan atas nama syarikat dengan jumlah keseluruhan lebih RM153,000.
"Selepas bayaran dibuat, mangsa menyedari akaun pelaburannya telah disekat dan gagal mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan," katanya.
Menurutnya lagi, syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan meragukan yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat
"Semak kesahihan sesebuah syarikat pelaburan menggunakan ‘investment checker’ yang boleh diakses melalui https://www.sc.com.my/investment-checker sebelum membuat keputusan.
"Juga semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!