Koronavirus: Kehadiran pelancong ke Langkawi tidak terjejas
ALOR SETAR - Kemasukan pelancong ke Kedah khususnya Pulau Langkawi tidak terjejas meskipun terdapat kes penularan wabak koronavirus di negara ini.
Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya mendapati masih ramai pelancong terutama dari Timur Tengah yang mengunjungi Pulau Langkawi.
"Setakat ini kita lihat ramai pelancong, misalnya dari Timur Tengah masih melancong ke negeri kita, seperti Pulau Langkawi seperti biasa.
"Jangan risau. Tak kira sama ada negeri ataupun pulau, kita selamat dan bersih dari sebarang penularan wabak berkenaan untuk dikunjungi pelancong," katanya pada sidang akhbar sempena MyBest Buy LTdL 2020 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurutnya, usaha dan tindakan pantas diambil menyebabkan orang ramai termasuklah pelancong berasa selamat untuk melancong di pulau legenda, Pulau Langkawi dan Kedah.
"Hal ini berikutan langkah pencegahan kesihatan diambil, seperti pelancong akan diimbas terlebih dahulu di lapangan terbang, penggunaan cecair pembasmi kuman dan kempen-kempen lain," katanya.
Asmirul berkata, beberapa langkah proaktif dilakukan kerajaan dan kementerian berkaitan dalam menangani kes koronavirus dapat meningkatkan keyakinan ramai, sekali gus menarik kehadiran pelancong.
Beliau berkata, kejohanan basikal bertaraf dunia, Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 yang merupakan salah satu produk pelancongan negara juga tidak terjejas dengan perkara itu.
Dalam perkembangan sama, katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak menyebarkan berita palsu berhubung wabak koronavirus kerana boleh menjejaskan pelancongan dan pelaburan di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!