Pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua muktamad
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemilihan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah muktamad dan tidak akan disemak semula walaupun terdapat beberapa kritikan dilemparkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam konteks pemilihan U Mobile, ia dilakukan secara bebas oleh pasukan teknikal dan diputuskan sebulat suara oleh ahli-ahli suruhanjaya.
"Pihak pentadbiran tidak terlibat, tiada campur tangan," katanya ketika sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.
Ujar Fahmi, sekiranya terdapat perkara yang dibangkitkan, beliau sedia memberi maklumat tambahan.
"Kalau kita lihat dalam sidang Parlimen, apabila saya menjawab pada tempoh hari sewaktu sesi soal jawab menteri, saya dapati kebiasaannya ahli-ahli Parlimen akan mengambil peluang untuk bertanya lanjut.
“Ada yang membangkitkan soalan dan sekiranya ada di kalangan mereka yang ingin mendapat maklumat tambahan, saya sedia untuk memberikan,” jelasnya.
Tegas beliau, pemilihan U Mobile tersebut bukanlah kontak mahupun lesen, sebaliknya instrumen tersebut adalah spektrum 3.6 GHz yang dikenali juga sebagai F2 untuk dibangunkan rangkaian 5G kedua.
"Tidak ada dana awam yang terlibat dalam membangunkan rangkaian 5G kedua negara dan dari segi aspek pengurusan, tata kelola, setakat ini semua berjalan dengan tertib serta tidak ada campur tangan," katanya.
Sebelum ini kerajaan digesa untuk lebih telus dengan mendedahkan butiran mengenai pemilihan U Mobile kepada umum.
Ujar tokoh veteran industri internet, Dr Mohamed Awang Lah, pemilihan syarikat telekomunikasi itu masih samar.
Sementara itu, Fahmi berkata, SKMM akan memanggil U Mobile untuk mengadakan perbincangan selanjutnya.
"Seperti yang kita semua sedia maklum, U Mobile pada sehari selepas pengumuman memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama dengan sejumlah rakan-rakan strategik sama ada di kalangan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih atau pun pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan sebagainya.
"Jadi kita tunggu pertemuan itu dahulu untuk SKMM mendapatkan maklum balas daripada pihak U Mobile mengenai perancangan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!