Nasib MPN belum dibincangkan mesyuarat Kabinet - Fahmi
PUTRAJAYA - Cadangan untuk mengkaji semula operasi Majlis Profesor Negara (MPN) termasuk keperluan membubarkannya belum dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Bagaimanapun Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah menegur pengurusan badan pemikir tersebut.
"Belum ada kata muktamad atau pun setidak-tidaknya dalam beberapa mesyuarat kebelakangan ini belum dibangkitkan," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, PAC mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula penubuhan MPN susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah KPT berdasarkan peranannya.
MPN kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2024 Julai lalu mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah MPN tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat dan salah guna dana pembiayaan operasi kepada syarikat berjumlah RM373,516.
Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!