Ustaz Bollywood semakin pulih, tapi masih berada di hospital
SHAH ALAM - Penceramah bebas, Haslin Baharim atau dikenali sebagai Ustaz Bollywood yang menjalani pembedahan akibat diserang angin ahmar, Jumaat lalu kini kelihatan semakin pulih namun masih berada di hospital.
Perkara tersebut dikongsi oleh sahabatnya yang juga penceramah bebas, Abdullah Khairi menerusi laman Facebook pada Khamis.
Dalam gambar dan video itu jelas menunjukkan Haslin memberi reaksi yang baik ketika Abdullah Khairi melawat beliau.
Abdullah Khairi melahirkan rasa syukur kerana sahabatnya itu sudah boleh mengangkat ibu jari tangan menunjukkan isyarat 'bagus'.
"Alhamdulillah! Dah boleh tunjuk 'thump up'. Hati ni dah rasa tenang dan bahagia.
"ALLAH sayang! Sahabatku ini, ini ujian untuk dia Haslin Baharim. Ramai yang datang dan doakan sahabatku ini," katanya sambil memuat naik tanda pagar #rindusahabathaslinygdulu.
Sebelum itu, Haslin Baharim mendapa rawatan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) selepas diserang angin ahmar (strok) pada 1 November lalu.
Seorang lagi pendakwah bebas, Syamsul Debat turut mendoakan agar sahabatnya itu tabah dan diberikan kesembuhan.
Menerusi perkongsian di TikTok, Syamsul atau nama sebenarnya Syamsul Amri Ismail memberitahu, diharapkan Ustaz Haslin diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.
"Semoga dapat sambung aktiviti dakwah dan kembali ke pangkuan keluarga.
"Dikhabarkan hari ini keadaannya bertambah baik, terima kasih buat warga petugas di Hospital UPM yang terbabit dalam usaha merawat Ustaz Haslin.
"Semoga ALLAH memberkati usaha murni kalian semua, amin,"jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!