'RUU Mufti Wilayah Persekutuan bukan penyeragaman mazhab'

Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris
Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris
A
A
A

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan bukan satu bentuk penyeragaman mazhab tetapi ia adalah usaha memelihara akidah umat Islam dengan menetapkan satu aliran yang benar sebagai pegangan masyarakat.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris berkata, mana-mana pegangan fahaman agama tidak perlu berasa terancam kerana tiada sesiapa yang akan dizalimi.

“Orang bukan Islam tidak perlu terancam apabila Islam ditetapkan sebagai agama negara. Demikian juga selain Al-Asyairah tidak perlu berasa terancam apabila ia dijadikan pegangan akidah umat Islam.

“Undang-undang ini akan menyekat dengan lebih berkesan segala fahaman yang bertentangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Akidah bukan seperti membeli barang di pasar malam, ikut selera masing-masing," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, pendakwah, Wan Ji Wan Hussin menyatakan bahawa kepelbagaian aliran dalam Islam tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman tetapi ia perlu diraikan bagi menampilkan Islam adalah agama yang hebat.

Menurutnya, kepelbagaian itu perlu dijadikan sebagai peluang untuk mencari kebijaksanaan gagal apabila timbul masalah dalam masyarakat kini iaitu aliran pemikiran.

Mengulas lanjut, Khalif Muammar memaklumkan penetapan aliran fahaman dalam RUU Mufti Wilayah Persekutuan bertujuan mengelakkan berlakunya penyelewengan akidah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, umat Islam kini berdepan dengan ancaman liberalisme dan ‘pseudo-salafi’, pelbagai bentuk ideologi ekstrim dan radikal serta ajaran sesat.

“Pemerintah bertanggungjawab memberi panduan kepada rakyat berhubung aliran mana yang benar dan meletakkan batas bagi kebebasan agar pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan kebebasan dan keterbukaan.

“Penetapan Akidah umat Islam telah berlaku di zaman Nizam al-Mulk al-Tusi dan Salahuddin al-Ayyubi dengan mengangkat Al-Asyairah sebagai pegangan masyarakat setelah menyedari pentingnya ajaran sesat disekat demi menjamin persatuan umat Islam,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!