LOT Polish Airlines terbang ke Langkawi
LANGKAWI - Usaha kolektif merentasi perbezaan fahaman politik ataupun kaum diperlukan untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan Langkawi dan menarik pengunjung seluruh dunia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya menekankan kepada pihak berkepentingan industri di Langkawi bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited sepenuhnya untuk memajukan industri pelancongan Langkawi.
Beliau memaklumkan, ramai pemain industri mengharapkan peningkatan frekuensi penerbangan dan ketibaan pelawat di Langkawi.
"Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa penerbangan sewa dari Warsaw ke Langkawi oleh LOT Polish Airlines secara rasminya bermula pada penghujung Oktober tahun ini.
"Ia akan beroperasi seminggu sekali iaitu pada hari Ahad dan merupakan antara inisiatif yang telah diwujudkan melalui usaha MOTAC," katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebooknya pada Jumaat.
Beliau menambah, penerbangan terbabit akan diteruskan hingga Mac depan bakal merangsang pertumbuhan ekonomi pelancongan Langkawi.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah, MOTAC akan terus berusaha untuk menarik lebih banyak penerbangan ke Langkawi.
"Dalam mesyuarat baru-baru ini, agensi pelancongan Poland, ITAKA telah memaklumkan kepada kami bahawa sesetengah pelawat merancang untuk tinggal di Malaysia selama lebih daripada seminggu.
"Malah, ada yang mempertimbangkan untuk tinggal selama dua minggu untuk meneroka pelbagai produk pelancongan," katanya.
King Sing memaklumkan, beliau juga telah melibatkan diri dengan pelbagai sektor untuk memupuk pertumbuhan industri pelancongan Langkawi dan mengeratkan hubungan industri berkaitan semasa lawatan ke Kedah.
"Selepas berbincang dengan Exco kerajaan negeri, saya bersetuju dengan beberapa aktiviti promosi bersama di mana kerajaan negeri Kedah dan kerajaan persekutuan boleh bekerjasama, khususnya bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Saya juga akan mengatur satu lagi pertemuan dengan Menteri Besar Kedah," katanya.
Beliau menambah, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat untuk membincangkan inisiatif utama untuk mempromosikan sektor pelancongan khususnya di negeri Kedah selepas selesai lawatan kerja selama tiga hari di Langkawi.
Menurut King Sing lagi, beliau dan delegasi MOTAC telah mengadakan sesi perbincangan dengan pelbagai pihak termasuklah pengusaha teksi, syarikat feri, syarikat penerbangan dan Kelab Layar Diraja Langkawi sepanjang lawatan kerja ke Kedah bagi mengumpul pandangan daripada pemain industri tempatan.
Kongsi beliau, ketika ini, terdapat 340 teksi dan 700 kereta e-hailing di Pulau Langkawi dan mereka telah menghadapi pelbagai cabaran seperti tambang rendah untuk perkhidmatan e-hailing dan kesesakan di terminal feri sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang diakui memerlukan perhatian kerajaan.
"Pengusaha juga telah membangkitkan penurunan ketara pelancong dari Asia Barat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, manakala pelawat dari India dan China lebih cenderung untuk tinggal lebih lama di pulau itu.
"Sebagai tindak balas, industri telah meminta usaha kerajaan yang lebih mampan untuk mempromosikan pelancongan di negara-negara berkenaan," katanya.
Beliau memberitahu, salah satu keutamaan MOTAC adalah menambah baik kemudahan kapal layar untuk pelancong berprofil tinggi memandangkan pelancongan kapal layar Langkawi mempunyai potensi besar dan usaha memastikan pelawat terus menerokai Malaysia berbanding Phuket kekal sebagai satu matlamat.
Beliau turut menyifatkan, isu yang dibangkitkan oleh pengendali merangkumi pelbagai agensi dan memerlukan kajian dan penyelesaian yang teliti.
"Apa yang jelas, semua pihak berkepentingan mesti bekerjasama rapat untuk memaksimumkan keberkesanan usaha promosi dilaksanakan MOTAC,"katanya.
Beliau yakin dengan sokongan semua pihak, Malaysia bersedia menerima kunjungan 26.1 juta pelancong antarabangsa dan meraih RM97.6 bilion dalam perbelanjaan pelancongan domestik pada 2026, sekali gus menjayakan Tahun Melawat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!