Empat pakej SJAM capai kemajuan 94.5 peratus
KUALA SELANGOR - Projek infrastruktur Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi empat pakej di negeri ini telah mencapai kemajuan 94.5 peratus.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kos pembangunan projek infrastruktur berjumlah RM320 juta itu dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya pada bulan depan.
Menurut beliau, semua pakej itu dijangka dapat menangani isu henti tugas loji rawatan air (LRA) akibat insiden pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan Sungai Langat.
"Apabila semuanya sudah beroperasi dan boleh dilaksanakan, kita akan serahkan kepada (Pengurusan) Air Selangor (Sdn Bhd) untuk menyediakan SOP (prosedur operasi standard) dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan SJAM Pakej B di Rumah Pam SJAM, Kolam Hang Tuah, Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
Izham memberitahu, pada masa ini, hanya pakej B telah siap sepenuhnya meliputi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA Rantau Panjang.
"Pakej B ini melibatkan pembinaan rumah pam untuk membekalkan air mentah secara terus dari kolam Hang Tuah 5 ke muka sauk LRA Rantau Panjang Baru dan Lama.
"Kapasiti pam yang disediakan adalah sebanyak 40 MLD (juta liter sehari) menyamai kapasiti produksi LRA Rantau Panjang serta mampu bertahan dalam tempoh lima hari," tambah beliau.
Jelas beliau, sistem pengepaman air mentah dari Kolam Hang Tuah yang terletak satu kilometer dari muka sauk LRA Rantau Panjang akan diaktifkan untuk menyalurkan air mentah sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Selangor
"Dengan adanya SJAM Pakej B ini, LRA Rantau Panjang dapat terus membekalkan air kepada pengguna walaupun berlaku pencemaran air mentah di Sungai Selangor," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!