Doa mengiringi misi penting PM ke Riyadh

Muhammad Dzul Aiman
Muhammad Dzul Aiman
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah Malaysia menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu disifatkan sebagai satu tindakan berani.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, cadangan itu wajar disokong oleh seluruh umat Islam.

Justeru, PKPIM menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama berdoa untuk kejayaan dan perlindungan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi pada Isnin ini.

“Semoga ALLAH SWT melimpahkan kekuatan kepada beliau untuk membawa suara umat Islam demi kemerdekaan Palestin yang telah lama dinantikan.

“PKPIM menzahirkan solidariti penuh terhadap perjuangan pembebasan Palestin yang kini berada di bawah penindasan genosid Israel yang kejam dan berlarutan sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.

Beliau juga akan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin dan menyampaikan suara serta harapan negara di pentas antarabangsa dalam sidang kemuncak ini yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal melibatkan negara-negara Islam.

Tambah Muhammad Dzul Aiman, PKPIM bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan telah menganjurkan program bacaan Yasin dan solat hajat di surau serta sekolah di seluruh negara bagi memohon perlindungan dan pembebasan untuk rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

PKPIM juga katanya, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang melampaui batas kemanusiaan dan menginjak-injak undang-undang antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!