Pegawai khidmat pelanggan maut digilis
SHAH ALAM - Seorang pegawai khidmat pelanggan bank maut setelah motosikal ditunggang bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum digilis dalam kemalangan di Jalan Sungai Buloh-Subang di sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Sungai Buloh menuju Shah Alam.
"Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berumur 20 tahun itu menunggang motosikal jenis GPX Demon G200R dipercayai dalam perjalanan menuju tempat kerjanya.
"Mangsa bagaimanapun dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kejadian mengakibatkan mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
"Maklumat kejadian juga dapat disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!