‘Hari ini hari lahir saya’
SHAH ALAM - Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka meraikan hari lahir remaja perempuan yang dilihat berseorangan bersama sebiji kek cawan coklat berharga RM1.69.
Menurut Nur Ellisya Mohd Yusoff, 24, kisah bermula apabila remaja bernama May mahu membayar kek berkenaan di kaunter bayaran selain mahu membeli pemetik api.
Katanya, atas faktor usia, dia tidak membenarkan kerana bimbang tentang keselamatan atau disalahgunakan.
“Bagaimanapun, May mengeluarkan sebatang lilin untuk diletakkan di atas kek yang dibeli dan menyatakan bahawa hari ini adalah hari lahirnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Nur Ellisya, peristiwa itu mengingatkan kembali apa yang pernah dilalui suatu ketika dahulu di mana pernah menyambut hari lahir dengan sepinggan nasi goreng.
Tidak mahu May rasa bersendirian, Nur Ellisya menyalakan lilin di atas kek cawan dan menyanyikan lagu hari jadi sambil merekod video.
“Dia izinkan untuk momen itu direkod dan sangat faham situasinya. Kalau boleh saya mahu dia rasa dihargai.
“Dia menunjukkan reaksi terharu dan sangat gembira. Alhamdulillah apa yang dilakukan itu tidak seberapa tapi mungkin besar maknanya untuk dia,” ujarnya.
Wanita dari Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak menyangka video pendek yang dimuat naik di TikTok itu tular.
“Saya cuma ingat pesan mak sejak kecil agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengharapkan sebarang balasan,” tambahnya.
Nur Ellisya turut menjelaskan telah bertemu penjaga remaja berkenaan dan mendapati May merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, menulis serta membaca.
“Mereka sudah menjelaskan semuanya kepada saya dan minta agar tidak ada mana-mana pihak mengusik atau membuli May kerana keadaannya.
“Keluarganya berharap supaya May dapat masuk ke sekolah vokasional untuk pelajar OKU kerana dia teringin nak belajar membuat kraftangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!