'U Mobile ada kelebihan perancangan perniagaan'
SHAH ALAM - Pemilihan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali rangkaian teknologi 5G kedua menunjukkan syarikat berkenaan menawarkan kelebihan dari segi perancangan perniagaan dan teknikal dengan mengambil kira rekod serta prestasi terkini.
Felo Penyelidik Pusat Komunikasi Wayarles, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Ts Dr Leow Chee Yen berkata, ketersediaan dua rangkaian 5G yang kukuh kelak mampu meningkatkan daya saing Malaysia dalam usaha menarik pelaburan berasaskan teknologi tinggi.
Menurutnya, rangkaian 5G kedua juga dijangka dapat mengoptimumkan potensi teknologi terkini dan menawarkan perkhidmatan 5G yang kompetitif dan memberi manfaat kepada pengguna biasa dan pengguna industri.
“Rangkaian 5G kedua ini sebenarnya memberikan peluang baharu kepada syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan yang lebih inovatif mengikut permintaan semasa pasaran dan mengikut perkembangan teknologi terkini.
“Ia menggalakkan persaingan yang sihat di antara kedua-dua pengendali rangkaian 5G supaya sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan, mengoptimumkan prestasi rangkaian dan berlumba-lumba meningkatkan prestasi perkhidmatan 5G demi kepuasan pelanggan.
“Ini secara langsung dapat memberi manfaat kepada syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi dan juga bakal memberi faedah kepada pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan kos yang berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Chee Yen, dengan pemilihan pengendali rangkaian 5G kedua, ketersediaan dan kebolehpercayaan sambungan 5G dapat dijamin setiap masa apabila salah satu rangkaian boleh menjadi pengganti serta-merta sekiranya satu rangkaian lagi bermasalah tanpa menjejaskan ketersambungan.
Bahkan jelas beliau, kedua-dua rangkaian juga boleh digabungkan untuk memberi liputan yang lebih meluas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!