Masyarakat dunia tuntut janji Trump selesai konflik Palestin

Sejak 2015, tiada peristiwa yang lebih mendominasi politik AS berbanding penampilan dramatik Trump di pentas. (Gambar kecil: Mohd Roslan)
Sejak 2015, tiada peristiwa yang lebih mendominasi politik AS berbanding penampilan dramatik Trump di pentas. (Gambar kecil: Mohd Roslan)
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat dunia menuntut Donald Trump untuk mengotakan janjinya bagi menyelesaikan konflik di Palestin.

Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, harapan tersebut bersandarkan kepada sikap Trump yang dilihat sebagai seorang yang memegang kepada janji.

Jelasnya, ia dilihat ketika Trump menjadikan Jerusalem sebagai ibu kota Israel bagi melaksanakan janji yang dibuat kepada pelobi Yahudi sewaktu berkempen kali pertamanya dahulu.

“Ketika tahun 2017 memang beliau kotakan dan memindahkan kedutaan AS ke Jerusalem.

“Kalau kita tengok dalam kempen pilihan raya kali ini, beliau ada berjanji untuk menghentikan pergolakan tersebut dan menaruh harapan serta keyakinan bahawa beliau akan buat seperti yang dijanjikan.

“Namun dalam masa sama kita juga harapkan supaya mereka melibatkan pimpinan Hamas dalam perundingan dan perlindungan untuk memastikan Palestin merdeka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, Mohd Roslan menambah, masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri dengan mempercayai ucapan retorik semasa kempen.

“Jadi saya kira kerja-kerja melobi untuk mendesak perang dihentikan perlu dilakukan daripada sekarang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Roslan, pentadbiran baharu itu juga mungkin akan mengenakan tekanan lebih besar kepada Iran.

“Mereka (AS) mungkin akan menekan Iran kerana memberi dana dan membekalkan senjata kepada kumpulan-kumpulan di Lubnan (Hezbollah) atau Hamas.

Ditanya mengenai kemenangan Trump akan memberi impak besar terhadap apa yang berlaku di Asia Barat, beliau berkata, hubungan AS dan Israel akan kekal kukuh seperti biasa.

“Mereka (Israel) pernah menyebut bahawa kawan baik di Rumah Putih adalah Trump.

“Tetapi disebabkan komitmen Trump untuk menghentikan perang membuatkannya mendapat sokongan yang sedikit oleh orang Yahudi.

“Dalam erti kata lain, kumpulan Yahudi telah lari kepada Parti Demokrat dan undi orang Islam pula berubah serta diberikan kepada Parti Republikan (Trump),”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!