Isteri kencing manis kronik, suami pula diberhentikan kerja
POKOK SENA - Kehidupan sebuah keluarga berubah apabila ketua keluarganya diberhentikan kerja kerana sering mengambil cuti untuk menguruskan isteri yang menghidap kencing manis kronik pada Oktober lalu.
Zulhamri Abd Sali, 43, yang bekerja sebagai buruh binaan di Selangor sebelum ini perlu memberikan perhatian penuh kepada Siti Sumaini Taib, 41, kerana kedua-dua belah kakinya luka sehingga menyebabkan jangkitan kuman.
Disebabkan terputus sumber kewangan, Zulhamri dan isteri bersama empat anak mengambil keputusan untuk berpindah dan menumpang di pondok bapa saudaranya di Kampung Belukar, Telaga Mas, dekat sini sejak November lalu.
Menurut Zulhamri, setiap hari dia akan menghantar semua anaknya ke sekolah sebelum menyiapkan dan menghantar isterinya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mencuci luka dengan menaiki motosikal.
"Sebelum ini saya dapat gaji RM1,500 sebulan sebagai buruh binaan, namun selepas isteri sakit kami hilang punca pendapatan kerana saya perlu menjaganya.
"Jika lukanya sudah sembuh dan sudah mampu menguruskan diri, saya akan kembali mencari apa sahaja kerja di sini untuk kembali menampung kehidupan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di pondok didiami selepas menerima kunjungan Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB), Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada keluarga itu.
Zulhamri berkata, selain tinggal di pondok tanpa bekalan elektrik, mereka sekeluarga menumpang ihsan isteri bapa saudaranya, Mariah Md Daud yang berkongsi makan minum setiap hari.
Mariah yang kematian suami pada Januari lalu akibat masalah jantung tinggal di rumah yang belum siap bersebelahan pondok diduduki mereka.
Sementara itu, Siti Sumaini berkata, dia kini bergantung sepenuhnya kepada suami untuk bergerak kerana masih lagi tidak mampu berjalan disebabkan luka akibat penyakit kencing manis kronik tersebut.
"Kedua-dua belah kaki saya luka sehingga terkena jangkitan kuman. Kaki kanan luka di bahagian betis manakala kaki kiri pula di bahagian buku lali dan perlu bergerak dengan bantuan suami.
"Kini suami yang menguruskan semua termasuk menghantar anak-anak ke sekolah. Isteri bapa saudara suamilah yang banyak membantu dengan menyiapkan makanan setiap hari kerana saya sendiri masih belum mampu berjalan," katanya.
Disebabkan oleh kesempitan hidup itu, mereka sekeluarga hanya dapat makan sehari sekali malah gagal menyediakan kelengkapan pakaian sekolah sempurna buat -anak anak mereka.
Jelas Siti Sumaini, bagaimanapun anak-anaknya bagaikan memahami dengan situasi yang dihadapi oleh mereka sekeluarga kerana sanggup berkongsi seluar sukan yang sama jika ada aktiviti sukan di sekolah.
"Anak keduanya, Siti Faraziatul, 9, sering bergilir memakai seluar sukan yang sama ataupun dia akan mengalah kepada abangnya, Muhd Syawal,13, bagi membolehkannya menyertai acara sukan di sekolah," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun Maybank 164249140581 Zulhamri Abd Sali atau menghubungi di talian 0198503574 (Mariah) atau 17578 7047 (Rukiza).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!