'Arwah masih isteri saya yang sah' - Suami
GEORGE TOWN - Suami wanita yang maut ditikam seorang lelaki di hadapan lif sebuah pangsapuri di Farlim, Ayer Itam pada Khamis lalu menafikan bahawa mereka berdua sudah berpisah.
Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal, 30-an berkata, dakwaan bahawa arwah isterinya, Siti Zulaila Zulkifli, 30 sudah berstatus janda adalah tidak benar.
"Dia isteri saya dan saya adalah suaminya yang sah.
"Dakwaan yang mengatakan kami sudah berpisah adalah tidak benar," katanya di majlis pengebumian arwah isteri dan bapa mertua di sini pada malam Jumaat.
Mohamad Shazwan turut menyatakan kekesalannya apabila orang ramai menabur fitnah tersebut terhadap arwah isterinya.
"Bila ramai fitnah, kata arwah janda, saya sedih.
"Saya sedih dengan kejadian ini, ditambah pula dengan dakwaan tidak sepatutnya, buatkan kami sebagai keluarga sangat terkesan," katanya lagi.
Tambah Mohamad Shazwan, dia berharap agar suspek dikenakan hukuman setimpal selepas membunuh isteri dan bapa mertuanya.
Dalam kejadian pada petang Khamis, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari, Khamis lalu.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Suspek berusia 32 tahun mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri.
Suspek yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 14 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!