Pasukan MALBATT pantang mundur

Anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) memakai beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada majlis penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-12 ke Lubnan di Pengkalan Udara Subang, pada 6 November lalu.
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) memakai beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada majlis penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-12 ke Lubnan di Pengkalan Udara Subang, pada 6 November lalu. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

INSIDEN letupan di Sidon, Lubnan melibatkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang dalam misi pengaman di bawah naungan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) pada Khamis mengejutkan banyak pihak.

Akibat daripada kejadian itu, enam anggota MALBATT mengalami kecederaan ringan, dengan lima daripada MALBATT 850-12 dan seorang lagi daripada MALBATT 850-11.

Kejadian tersebut berlaku ketika konvoi berkenaan dalam perjalanan dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 tengah hari waktu tempatan (7.54 malam waktu Malaysia).

Letupan tersebut disasarkan kepada sebuah kenderaan awam yang menuju ke Beirut, namun turut menyebabkan kerosakan pada bas yang membawa anggota pengaman.

Insiden tersebut merupakan sebahagian daripada ketegangan keselamatan yang semakin memuncak di selatan Lubnan, yang terletak berdekatan dengan sempadan Israel-Lubnan.

Beberapa serangan lain di kawasan tersebut, termasuk serangan dron Israel, telah menyasarkan pos-pos pengaman UNIFIL dan pasukan keselamatan Lubnan, menambah risiko yang dihadapi oleh pasukan pengaman antarabangsa.

Susulan kejadian itu, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, mengutuk serangan tersebut.

Jurucakap kerajaan Malaysia, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa tindakan Israel itu tidak dapat diterima memandangkan serangan tersebut turut menyasarkan anggota pasukan pengaman.

Artikel Berkaitan:

Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 ke Lubnan akan terus menjalankan tugas pengaman mereka di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Foto Bernama
Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 ke Lubnan akan terus menjalankan tugas pengaman mereka di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Foto Bernama

Bagaimanapun katanya, kerajaan Malaysia menegaskan komitmennya untuk meneruskan misi pengaman di Lubnan, meskipun berdepan dengan cabaran keselamatan yang semakin meningkat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman turut mengesahkan bahawa kesemua anggota yang tercedera dalam insiden itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya, mereka adalah sebahagian daripada 220 anggota MALBATT 850-12 kumpulan pertama yang berlepas ke Lubnan bagi menjalankan misi pengaman pada 6 November lalu.

Beliau menjelaskan bahawa MALBATT 850-12 akan terus menjalankan tugas pengaman mereka di bawah mandat PBB dan sebarang keputusan untuk menarik balik pasukan hanya boleh dibuat oleh PBB.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, sebarang ketetapan yang akan diambil juga tertakluk kepada keputusan UNIFIL.

Menurutnya, Malaysia sentiasa berhubung rapat dengan UNIFIL dan bersama-sama dengan negara yang menghantar pasukan pengaman di Lubnan serta sentiasa berbincang untuk membuat keputusan bersama.

Pada masa sama, Malaysia sudah ada rancangan sandaran sekiranya berlaku apa-apa mudarat dan keputusan oleh UNIFIL sama ada mengeluarkan pasukan di Lubnan.

Pasukan yang dihantar juga katanya, adalah kumpulan yang terlatih dan merupakan askar yang memang faham serta bersedia dengan apa-apa cabaran.

Lubnan, khususnya di selatan negara tersebut, merupakan kawasan yang terdedah kepada ketegangan geopolitik yang berterusan, terutamanya akibat konflik dengan Israel dan ancaman dari kumpulan Hizbullah.

Keadaan ini memerlukan kehadiran pasukan pengaman seperti UNIFIL untuk mengekalkan kestabilan di kawasan sempadan dan mengurangkan potensi pertembungan bersenjata.

Insiden ini memberi gambaran jelas tentang cabaran besar yang dihadapi oleh pasukan pengaman antarabangsa dalam persekitaran yang penuh ketegangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!