Lelaki bawa tong bakar rumah dirakam CCTV

Kebakaran dipercayai bermula di sebuah rumah sebelum merebak ke dua kediaman bersebelahan. Foto JBPM Perak
Kebakaran dipercayai bermula di sebuah rumah sebelum merebak ke dua kediaman bersebelahan. Foto JBPM Perak
A
A
A

MANJUNG - Seorang wanita warga Vietnam ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran tiga rumah di Taman Singa dekat Sitiawan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati, kejadian sekitar jam 2.50 pagi itu disyaki ada kaitan dengan unsur khianat.

Menurutnya, semakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) mengesan kelibat seorang lelaki membawa dua tong berisi cecair bahan bakar ke arah rumah terlibat.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan melakukan operasi pemadaman ke atas tiga rumah yang terbakar di Taman Singa pada Jumaat. Foto JBPM Perak
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan melakukan operasi pemadaman ke atas tiga rumah yang terbakar di Taman Singa pada Jumaat. Foto JBPM Perak

"Suspek itu melarikan diri selepas api mula menyala.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung telah membuat satu tangkapan ke atas wanita berusia 38 tahun itu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang juga pemilik salah satu kediaman tersebut.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula di rumah lelaki berkenaan sebelum merebak dan mengakibatkan dua lagi rumah berdekatan terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran lebih kurang 30 minit yang berpusat dari garaj rumah itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati 90 peratus rumah pengadu bersama dua kereta dan sebuah motosikal musnah, manakala dua rumah lagi mengalami kebakaran antara 20 hingga 40 peratus, sebuah motosikal turut terbakar," katanya.

Kebakaran mengakibatkan kediaman milik pengadu musnah 90 peratus bersama dua kereta dan sebuah motosikal. Foto JBPM Perak
Kebakaran mengakibatkan kediaman milik pengadu musnah 90 peratus bersama dua kereta dan sebuah motosikal. Foto JBPM Perak

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dan kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca kejadian sama ada mempunyai kaitan dengan sindiket along," katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 0111-624 0391 atau menerusi bilik gerakan IPD Manjung 05-688 6222.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!