MAHA 2024 lakar pencapaian luar biasa, jualan langsung cecah RM48. 55 juta

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SERDANG - Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 melakar pencapaian luar biasa apabila mencatat jualan langsung sebanyak RM48.55 juta selain kehadiran 5.5 juta pengunjung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah melebihi sasaran itu menunjukkan minat dan sokongan kepada sektor agro makanan semakin meningkat selain produk tempatan juga kian mendapat tempat di hati rakyat.

Menurutnya, kejayaan lebih besar juga dapat dilihat menerusi pendaftaran 81 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai keseluruhan RM7.2 bilion.

Mohamad (tengah) bersama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak menyampaikan sijil penghargaan majlis Apresiasi MAHA 2024 di MAEPS pada Jumaat.Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
Mohamad (tengah) bersama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak menyampaikan sijil penghargaan majlis Apresiasi MAHA 2024 di MAEPS pada Jumaat.Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.

"Ini bukan angka kecil, membuktikan MAHA telah menjadi platform perdagangan terkemuka, bukan saja untuk Malaysia tetapi untuk seluruh rantau ini.

"Pavilion MAHA di MAEPS juga telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi pilihan untuk lawatan delegasi ASEAN tahun depan.

"Ini satu pengiktirafan besar, bukan sahaja untuk MAHA tetapi untuk sektor agro makanan kita secara keseluruhannya," katanya pada Majlis Apresiasi MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Jumaat malam.

Katanya, kejayaan itu hasil kerja keras bersama oleh sekretariat, pempamer dan peserta serta warga kementerian serta semua pihak bertungkus-lumus menjayakan MAHA 2024 berlangsung pada 11 hingga 22 September lalu.

Artikel Berkaitan:

"Tak lupa juga kepada para petani, penternak, nelayan, dan usahawan agro makanan, kalian adalah wira sebenar.

"Rakan-rakan strategik dan penaja juga memainkan peranan penting. Dengan sokongan dari segi kewangan, teknologi dan ilmu, kita dapat tingkatkan lagi daya saing sektor pertanian.

"Gabungan sektor awam dan swasta ini adalah contoh terbaik kerjasama untuk kebaikan bersama," ujarnya.

Mohamad (tengah) bersama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak menyampaikan sijil penghargaan majlis Apresiasi MAHA 2024 di MAEPS pada Jumaat.Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
Mohamad (tengah) bersama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak menyampaikan sijil penghargaan majlis Apresiasi MAHA 2024 di MAEPS pada Jumaat.Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.

Pada majlis sama, beliau turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada penganjur Mesyuarat Pegawai Kanan Khas bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-45 (Special SOM-45th AMAF) yang berlangsung pada 6 Ogos lalu di Johor Bahru.

Katanya, dengan kehadiran wakil dari setiap negara Asean, mesyuarat itu telah berjaya mengukuhkan semangat kerjasama dan memperkukuh komitmen dalam mencapai objektif bersama di bidang pertanian dan perhutanan.

Dalam perkembangan berasingan katanya, walaupun KPKM sentiasa sibuk dengan pelbagai acara dan program sepanjang tahun ini, kementerian itu tetap berusaha membantu meringankan beban rakyat melalui penganjuran Program Jualan Agro Madani.

"Sepanjang tahun ini, lebih 6,800 program Jualan Agro Madani (JAM) dijalankan dengan penyertaan lebih 86,000 usahawan.

"Alhamdulillah, hasil jualan mencecah RM153 juta, dan ini telah memberi penjimatan kepada berjuta isi rumah, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!