Sultan Nazrin berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran
KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.
Keberangkatan Sultan Nazrin diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen diketuai Kolonel Abdul Rahim Hamzah.
Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Regimen Altileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, seramai 213 penerima telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak.
Daripada jumlah itu, seramai 59 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing di Istana Iskandariah di Bukit Chandan di sini pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!