Ustaz Hakimi maut kemalangan dalam perjalanan imamkan solat Maghrib, Isyak
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Imam 3 Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Muhammad Hakimi Mustapai, 43, maut selepas terbabit kemalangan pada petang Jumaat ketika dalam perjalanan menuju ke masjid bagi memimpin solat Maghrib dan Isyak.
Perkara tersebut dimaklumkan jawatankuasa masjid dan beberapa rakan karib menerusi hantaran di Facebook.
Pendakwah, Mohamad Zuhdi Mat Piah berkata, mengenangkan beliau dan Allahyarharyam pernah belajar di Tanta, Mesir suatu ketika dahulu, berita pemergian sahabatnya itu mengejutkan.
“Agak terkejut apabila dimaklumkan sahabat yang kini bertugas sebagai imam di Masjid Al-Falah USJ 9 meninggal dunia.
“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keampunan buat Allahyarham Muhammad Hakimi, syurga buatmu sahabat,“ katanya.
Menerusi hantaran berbeza, rakan karib, Faiq Khalifa berpandangan, arwah yang juga bertugas sebagai pegawai dakwah mualaf di Pusat Zakat Selangor (PZS) banyak memberinya peluang untuk turut serta dalam membantu aktiviti pendidikan di Masjid Al-Falah.
Katanya, sekitar 10 tahun lalu, dia pernah membawa dua rakan mualaf untuk didaftarkan di masjid berkenaan hasil pertolongan Allahyarham.
“Arwah sememangnya banyak membantu mualaf tanpa mengira masa dan tempat.
"Kami pernah pergi ke luar kawasan untuk membantu mualaf yang mengalami kesempitan hidup dan menyampaikan sumbangan.
“Petang tadi dalam perjalanan untuk bertugas sebagai imam Maghrib dan Isyak, beliau kemalangan jalan raya.
“Sejujurnya saya amat sedih dengan berita ini. Doakan beliau ditempatkan bersama kekasih ALLAH SWT dan mendapat husnul khatimah,“ ujarnya lagi.
Sementara itu, kariah masjid memberitahu, jenazah telah dibawa dari Hospital Serdang dan segala proses mandi, kafan serta solat dibuat di Masjid Al-Falah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 pada jam 5 petang ini.
Bagaimanapun, katanya, sebarang perubahan tertakluk kepada keadaan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!