Sejam 'dalam penjara' waktu berkualiti saya, anak-anak bersama Anwar - Wan Azizah
KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan nada sayu mengimbau 'masa berkualiti' selama sejam bersama keluarga setiap kali melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara sepanjang tempoh tahanan dahulu.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkongsi keadaan yang terpaksa dilalui bersama anak-anak demi memanfaat peluang dan waktu penting membolehkan mereka sekeluarga meluangkan masa bersama.
"Ini bukan teks (ucapan). Saya dengar YB (Yang Berhormat), (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri) Nancy (Shukri) kata, masa yang diluangkan dengan keluarga adalah penting sekali.
"Itu membuatkan saya teringat (tentang) saya dipisahkan...kami (anak-anak) dipisahkan lama juga dengan suami dan ayah kepada anak-anak saya.
"Masa kami dalam penjara itulah masa penting, masa berkualiti yang terpaksa (dilalui)...tapi saya fikirkan kembali itu adalah hikmah.
"Bila sampai (penjara), anak-anak tengok (lawat) bapa mereka (dalam tempoh) sejam itu, Alhamdulillah macam terubat rindunya,"katanya ketika berucap merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK2024), di Taman Botani Perdana, di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah menasihatkan agar masyarakat memberi keutamaan untuk bersama keluarga dalam apa juga keadaan dan rutin yang dilakukan.
"Luangkanlah masa (dengan keluarga) kerana ia sangat penting dalam hidup kita ini,"katanya.
Tambah beliau lagi, Keluarga di Malaysia kini menghadapi pelbagaicabaran yang dipengaruhi oleh perubahan sosial, pendidikan, ekonomi dan teknologi yang sangat pantas.
"Isu megatrend yang melanda seantero dunia seperti perubahan demografi yakni peralihan penuaan penduduk dan penurunan kadar kesuburan serta perubahan iklim memberi kesan yang signifikan terhadap institusi keluarga diseluruh dunia.
"Perubahan ini memerlukan tindakan semua pihak di setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama mencari jalan dalam membantu institusi keluarga agar dapat membangun keluarga Madani yang lebih kuat, kukuh dan sejahtera,"katanya.
Bulan November disambut sebagai sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada setiap tahun adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.
Ia bagi memupuk ikatan keluarga yang lebih kukuh dengan mempromosikan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat, dan tanggungjawab dalam unit keluarga.
Dengan objektif untuk memperkasakan hubungan keluarga, Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan yang berlangsung pada 9 dan 10 November membawakan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!