400 keluarga B40 terima bantuan bakul makanan Yayasan Bank Rakyat
KUALA TERENGGANU - Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 400 isi rumah keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar Terengganu pada Sabtu.
Bantuan bakul makanan itu diserahkan semasa Majlis Penyampaian Ihsan Madani di sebuah hotel di sini yang turut disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datin Faizah Ariffin.
Turut hadir sama, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sejumlah RM60,000 diperuntukan untuk majlis tersebut dan setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM150. Sementara itu, Faizah dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu difokuskan kepada mereka yang memerlukan terutama dalam kalangan keluarga B40, fakir miskin dan ibu tunggal.
“YBR prihatin dengan kekangan dihadapi dan berharap bantuan ini menjadi medium yang efisien dalam membantu keluarga kurang berkemampuan bagi menyediakan keperluan asas harian terbaik pada anak-anak.
"Semoga bantuan bakul makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung serta sebagai tambahan daripada bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan.
"YBR sentiasa cakna dalam membantu masyarakat dan amat mengalu-alukan NGO lain yang sudi untuk berganding bahu dalam menyalurkan bantuan ini supaya dapat diperluaskan selain lebih ramai akan merasai manfaat," jelas beliau.
Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutama dalam kalangan B40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!