Luka tikaman pada dada, perut punca kematian dua beranak - Polis
GEORGE TOWN - Polis mengesahkan kematian dua beranak Zulkifli Ibrahim, 62, dan anaknya, Siti Zulaila, 30, di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam berpunca akibat luka tikaman pada dada dan perut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Jumaat mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam pada mangsa.
"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa wanita adalah disebabkan luka tikaman pada dada dan perut manakala bapanya mengalami luka akibat ditikam pada dada," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 6 petang semalam dan jenazah kedua-dua beranak dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.
Jenazah dua beranak itu selamat dikebumilan bersama dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat Isyak kira- kira jam 10 malam pada Jumaat.
Dalam pada itu, Swee Sake berkata, polis memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan akan dijalankan secara telus dan adil.
Katanya, setakat ini, keadaan suspek stabil dan pihak polis percaya siasatan tidak mengambil masa yang lama.
Dalam kejadian pada petang Khamis, Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari, Khamis lalu.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Suspek berusia 32 tahun mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri.
Suspek yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 14 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!