Keputusan pindah anggota MALBATT ambil kira semua negara terlibat UNIFIL

Adly
Adly
A
A
A

TANAH MERAH - Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan segala tindakan dan keputusan yang diambil termasuk pemindahan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) perlu mengambil kira semua negara yang terbabit dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Beliau berkata, segala tindakan akan mengikut tanggungjawab yang telah disepakati dalam UNIFIL.

"Hal ini kerana UNIFIL menyelaras sama ada operasi dan tindakan-tindakan yang kita buat.

Adly (kanan) mendengar aduan daripada pesara tentera semasa Program Veteran Desa Madani (VDM) di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, Tanah Merah pada Sabtu.
Adly (kanan) mendengar aduan daripada pesara tentera semasa Program Veteran Desa Madani (VDM) di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, Tanah Merah pada Sabtu.

"Jadi kita akan mengambil kira aspek-aspek tersebut," katanya ketika sidang akhbar pada Program Veteran Desa Madani (VDM) di Sekolah Kebangsaan Bechah Laut, di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, segala tindakan yang dijalankan oleh pasukan berkenaan mengikut pelan sebagaimana disediakan oleh UNIFIL.

Ujarnya, pada masa-masa tertentu tempat perlindungan anggota akan dipastikan berada dalam keadaan selamat.

"Semua di bawah kerjasama dengan UNIFIL dan tindakan kita itu untuk memastikan keselamatan adalah keutamaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Adly memberitahu, anggota yang mengalami kecederaan tidak akan dibawa pulang dan rawatan sebaik mungkin diberikan supaya mereka dapat terus berkhidmat membawa tanggungjawab negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita sentiasa berkomunikasi dengan anggota supaya maklumat terkini sentiasa dikemas kini dan segala tindakan ke hadapan bergantung kepada sedia ada," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, UNIFIL sedang menyiasat kejadian serangan letupan di Beirut pada Khamis yang melibatkan konvoi MALBATT 850-12.

Dalam kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat, kesemua enam anggota yang cedera kini selamat tiba ke destinasi di Kem Marakah.

ATM menjelaskan, konvoi berkenaan selamat tiba pada hari kejadian jam 5.08 petang waktu Lubnan bersama lima daripada enam anggota yang cedera ringan.

Salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar hari ini jam 12.01 pagi waktu Lubnan dan kini berada di Kem Marakah bersama anggota lain.

Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 dan mereka meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya.

Seramai 219 orang kumpulan kedua MALBATT 850-12 dijangka akan berlepas pada 10 November ini manakala trup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang bersiap sedia sebelum diatur gerak ke Lubnan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!