Syarat tambahan SKMM kepada U Mobile pastikan kesimbangan, wujud persaingan sihat - Fahmi
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhak mengenakan syarat tambahan kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd sebelum memberikan spektrum untuk menjadi pelaksana rangkaian 5G kedua negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, syarat tersebut adalah bagi memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan dan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi (telco).
“Ini perkara biasa. Kita tidak boleh keliru antara syarat pemilihan dan syarat yang akan dikenakan untuk spektrum.
“Itu dua perkara yang berbeza dan semua telco faham perkara ini,” katanya selepas melancarkan Hari Kurier Negara 2024 yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata, syarat tambahan itu juga bagi memastikan Digital Nasional Bhd (DNB) dapat bekerjasama dengan baik bersama syarikat U Mobile.
Beliau berkata, syarat sama turut dikenakan kepada Celcom Digi Bhd semasa kedua-dua syarikat telco itu bergabung pada 2022.
“Sewaktu penggabungan Celcom dan Digi, SKMM mengenakan syarat dan sejumlah spektrum perlu dikembalikan. Sekiranya U Mobile ingin bekerjasama dengan mana-mana syarikat telco lain untuk membangunkan rangkaian 5G kedua negara, maka SKMM perlu mengenakan syarat-syarat,” katanya.
Pada 1 November, SKMM dalam satu kenyataan telah mengumumkan pemilihan U Mobile pelaksana rangkaian 5G kedua negara yang bertujuan untuk memastikan manfaat penuh teknologi 5G sampai kepada orang ramai, industri serta negara.
Menurut SKMM, pemilihan itu dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi syarikat dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
Syarikat U Mobile Sdn Bhd turut dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem lain namun tertakluk kepada kelulusan SKMM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!