PKDK nafi 'TikToker' kerabat Kelantan
KOTA BHARU - Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan (PKDK) menafikan seorang pengguna TikTok atau 'TikToker' merupakan seorang kerabat diraja Kelantan.
Ahli Jawatankuasa PKDK, Tunku Mohammed Nazarin Tunku Yusoff berkata, mereka terpaksa membuat laporan polis bagi menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan.
Menurut beliau, @_carreyfarjery sebelum ini ada membuat beberapa ulasan secara 'live' di media sosial itu mengenai penahanan enam warga Malaysia termasuk penyanyi dialek Kelantan membabitkan penemuan 6,000 pil kuda.
"Kami menyerahkan laporan berkenaan kepada polis untuk tindakan dan berharap orang ramai tidak terpedaya dengan dakwaan netizen itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu.
Tunku Mohammed Nazarin memberitahu ada menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp pada Jumaat daripada pertubuhan berkenaan mengenai posting di TikTok 'Insan biasa luar biasa' yang diambil daripada akaun TikTok @_carreyfarjery.
Menurut beliau, melalui kandungan itu, terdapat komen daripada pengguna bernama Ayureduanmat dan Insan Biasa Luar Biasa yang mengaitkan pemilik akaun @_carreyfarjery ialah anak saudara Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis.
"Hasil carian kami tidak menemui penafian daripada @_carreyfarjery dan bersetuju untuk membuat laporan polis atas arahan Presiden PKDK, Datin Tengku Ramizan Tengku Ab Aziz," katanya.
Jelas beliau lagi, sebelum membuat laporan polis, pihaknya melakukan carian dan menemui satu hantaran berkaitan kehadiran pemilik akaun tersebut ke majlis sambutan kelahiran ibu saudara Sultan Kelantan, Datuk Tengku Salwani baru-baru ini.
"Melalui hantaran itu @_carreyfarjery menulis caption 'Birthday bonda kesayangan Carrey, Carrey buatkan deko dan kek cantik untuk bonda'," katanya.
Tunku Mohammed Nazarin turut menasihatkan pengguna TikTok terbabit mengelakkan mengambil peluang terhadap institusi diraja Kelantan untuk popular atau melariskan perniagaan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!