Ahmad Shahril dilantik pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat
Menurut Bank Rakyat, Ahmad Shahril yang juga merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan menggantikan Datuk Mohammad Hanis Osman yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bagi mengejar peluang baharu.
Mohammad Hanis yang telah berkhidmat selama 15 tahun di Bank Rakyat, dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 April 2022, sebelum memegang teraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 1 Julai 2022.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada beliau atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkannya dalam memastikan kesinambungan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dilaksanakan dengan baik untuk mencapai matlamat serta aspirasi yang dirangka.
“Pelbagai pencapaian dan pengiktirafan turut berjaya diraih sepanjang tempoh beliau menerajui kepimpinan Bank Rakyat.
“Semasa kepimpinannya, Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia mendahului jenama perbankan lain, menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance Malaysia 2023.
“Justeru, Bank Rakyat berterima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar beliau sepanjang beliau memimpin Bank berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut Bank Rakyat, pelantikan Ahmad Shahril bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi Bank Rakyat berjalan lancar.
Ahmad Shahril mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta kelayakan akademik yang luas.
Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.
“Pelan peralihan ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang berkepentingannya. Kami yakin pelantikan ini akan terus membawa Bank Rakyat ke hadapan sambil mencapai objektif strategik kami.
“Bank Rakyat juga telah merangka pelan penggantian untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!