Anwar berhadapan jadual padat di peringkat antarabangsa minggu ini

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jadual yang padat minggu ini termasuk mengadakan lawatan rasmi ke Mesir.

Menerusi catatan di Facebook Anwar berkata, beliau dan delegasi Malaysia akan berangkat ke Kaherah, Mesir petang ini bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

"Saya kemudiannya akan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau," katanya menerusi catatan tersebut, pada Sabtu.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selesai di Kaherah dan Riyadh, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.

Perdana Menteri dan delegasi seterusnya akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

"Doakan perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah serta kesemua pertemuan yang akan berlangsung dapat membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, insya-Allah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!