ERAT beri kesedaran banteras salah laku penguat kuasa, budayakan integriti

Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Prasad Sandosham Abraham (empat dari kanan) bersama Nurhayati ketika program ERAT anjuran EAIC di Dewan Pertubuhan Peladang, Kota Samarahan Sarawak pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Prasad Sandosham Abraham (empat dari kanan) bersama Nurhayati ketika program ERAT anjuran EAIC di Dewan Pertubuhan Peladang, Kota Samarahan Sarawak pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness (ERAT) anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bertujuan untuk memberi kesedaran dalam membanteras salah laku penguat kuasa dan membudayakan integriti sebagai teras perkhidmatan awam.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, dalam melaksanakan inisiatif itu, semua pihak termasuk EAIC, penguat kuasa, penjawat awam dan rakyat perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa penguat kuasa menjalankan tugas dengan jujur serta berintegriti.

"Usaha ini juga bertujuan untuk membanteras salah laku dalam kalangan penguat kuasa dan menjadikan integriti sebagai asas dalam perkhidmatan awam supaya ia memberi manfaat kepada semua.

"Seiring dengan definisi Malaysia Madani yang memfokuskan konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat, EAIC juga sebahagian daripada pihak terlibat dalam menjayakan matlamat ini.

"Kami bertanggungjawab mendapatkan maklum balas dan mengumpulkan syor penambahbaikan mengenai mutu perkhidmatan agensi kerajaan khususnya agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ismail memaklumkan, antara sasaran utama dalam penganjuran program ERAT ialah ketua masyarakat, kaum dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, golongan berkenaan memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat dan memberi penerangan kepada masyarakat sangat berharga dalam memastikan usaha itu mencapai matlamat yang diinginkan.

Ujarnya, selain menyampaikan maklumat mengenai EAIC, mereka juga berperanan sebagai 'mata-mata' untuk menyalurkan aduan tentang salah laku penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat perlu tahu bahawa mereka tidak perlu takut melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau ketidakadilan. Melalui saluran yang sah seperti EAIC, setiap aduan akan disiasat dengan telus.

"Selain itu, dalam usaha memupuk nilai integriti di kalangan penjawat awam dan penguat kuasa, integriti perlu menjadi agenda utama dalam mesyuarat jabatan.

"Isu integriti, salah laku dan etika boleh menjadi perbincangan utama dan Unit Integriti agensi penguatkuasaan seliaan bertanggungjawab melaporkan sebarang pelanggarannya untuk pemantauan EAIC," katanya.

Tambah beliau, anggota atau pegawai penguat kuasa yang didapati melakukan pelanggaran integriti, salah laku dan etika akan diambil tindakan tegas dan dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Menurutnya, tindakan berkenaan perlu diambil untuk menunjukkan keseriusan kerajaan terhadap individu yang mengkhianati amanah apabila menerima tawaran pekerjaan sebagai penjawat awam.

"Sektor perkhidmatan negara perlu berubah untuk menghadapi cabaran masa depan, melibatkan bukan sahaja perubahan dalam pelaksanaan aktiviti tetapi juga anjakan minda masyarakat.

"Stigma mengenai sektor awam yang dianggap lembab dan kurang kemahiran perlu diubah dengan agensi kerajaan menggunakan teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan perkhidmatan mereka.

"Melalui kerjasama antara agensi kerajaan, penguat kuasa, dan masyarakat, kita dapat membentuk perkhidmatan lebih cekap, berintegriti serta responsif terhadap keperluan rakyat, sejajar dengan hasrat kerajaan Madani untuk membina negara lebih bersih dan berdaya saing," jelas Ismail.

Katanya, perkhidmatan negara mungkin memiliki undang-undang dan polisi yang terbaik, namun tanpa kesetiaan, integriti dan kecekapan ia seolah-olah tiada guna.

Menurut Ismail, bagi menghapuskan mentaliti ‘silo’ dan karenah birokrasi dalam kalangan penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan, satu pasukan petugas khas perlu diwujudkan bagi menangani isu serius melibatkan salah laku serta integriti dengan lebih berkesan.

Ujarnya, pasukan melibatkan pelbagai agensi seperti EAIC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain membolehkan siasatan bersepadu terhadap anggota penguat kuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, inisiatif EAIC adalah satu keberanian yang patut dipuji kerana ia membuka peluang kepada lebih ramai pihak untuk melakukan aduan berkaitan rasuah.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan untuk mencari kesalahan tetapi merupakan pengenalan kepada kaedah baik pulih kepada jabatan atau agensi di bawah EAIC bagi mengurangkan risiko rasuah, penyelewengan dan sebarang penyalahgunaan kuasa.

"Sebenarnya sebelum sampai kepada peringkat rasuah, yang kita kena lihat adalah simptom rasuah di mana ia bermula dengan salah laku atau penyelewengan dan juga penipuan yang lazimnya dinormalisasi dan akhirnya di 'sweep under the carpet'. Begitu juga dengan amalan pekakkan telinga serta butakan mata oleh mana-mana pihak yang bertanggungjawab melaporkannya.

"Jika situasi seperti ini tidak dibendung dan dicegah daripada peringkat awal, dibimbangi laluan kita meletakkan negara pada tempat ke-25 terbaik dunia menjelang 10 tahun akan datang dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) akan menjadi lebih mencabar dan sukar," ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurhayati memaklumkan, program ERAT dengan Rasuah Busters sebagai rakan sinergi itu merupakan satu tindakan strategik bahawa pelbagai pihak di dalam ekosistem perlu sedar dan bertindak secara proaktif serta bersinergi dalam membendung gejala tidak bermoral seperti rasuah serta salah laku.

Justeru, katanya, setiap anggota masyarakat dan pemegang taruh perlu mengambil cakna terhadap wujudnya saluran yang selamat dan tepat untuk melakukan sebarang aduan supaya perkara salah dapat dihentikan sebelum ia semakin parah.

"Laporan akan diambil tindakan supaya isu tersebut dibendung, dan tidak berulang kerana pada akhirnya, yang kita nak selamatkan adalah rakyat sendiri... Rakyat itu bukan lah semata-mata komuniti, atau negara bahkan keluarga kita sendiri," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!