Kemelut BN-PH Johor: Kepimpinan tertinggi akan runding secara matang

Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) diiringi Mohd Asmirul (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada wakil keluarga ahli Amanah Kedah yang berjasa kepada parti.
Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) diiringi Mohd Asmirul (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada wakil keluarga ahli Amanah Kedah yang berjasa kepada parti.
A
A
A

JITRA - Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diyakini akan berunding secara matang dalam menyelesaikan isu pengagihan kerusi yang akan ditandingi di Johor.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-dua pihak perlu berunding tanpa emosi dan secara rasional selain tenang berdepan tuntutan mana-mana pihak.

Menurutnya, rundingan tersebut pasti akan berjaya khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Atas semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH pastinya boleh dirunding. Tiada apa yang tidak boleh dirunding.

“Saya harap dalam semangat itulah kita (sepakat) majukan negeri dan negara, termasuk kepimpinan. Insya-ALLAH kita akan dapat menyusun agihan kerusi dengan baik. Saya menaruh keyakinan ia dapat diselesaikan,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah 2024 di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Sebelum ini, pengagihan kerusi di Johor seakan sedikit tegang apabila Amanah Johor tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN atau PRU akan datang.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, ini kerana negeri itu masih di bawah kepimpinan BN dan belum membentuk Kerajaan Perpaduan walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Dzulkefly (tengah) bergambar bersama kepimpinan Amanah Kedah, wakil PKR, DAP dan BN Kedah serta perwakilan parti sempena Konvensyen Amanah Kedah di Jitra.
Dr Dzulkefly (tengah) bergambar bersama kepimpinan Amanah Kedah, wakil PKR, DAP dan BN Kedah serta perwakilan parti sempena Konvensyen Amanah Kedah di Jitra.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu jelaskan, Amanah Johor bersedia untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor, sama ada bersama dengan BN atau dengan gabungan asal PH.

Dr Dzulkefly yakin kemelut tersebut akan dapat diatasi berdasarkan rekod cemerlang gabungan tersebut di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan di peringkat Persekutuan merupakan pimpinan tertinggi, kita harap aura itu akan turun ke peringkat negeri atau kekuatan polisi Kerajaan Perpaduan akan sampai ke peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut yakin gandingan BN-PH di Kedah akan kembali membuat kejutan pada PRU akan datang.

“Cabaran pertama kita (terjemah dalam PRN akan datang) walaupun Kedah kini diterajui Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak mustahil untuk kita lakukan kejutan sebab gabungan ini sudah lama bergerak bersama.

“Yang utama sekarang teruskan beri khidmat kepada rakyat sebelum datangnya PRU16, saya yakin mereka akan membuat persiapan yang sangat baik,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan keupayaan dan pengalaman pimpinan BN-PH yang pernah mentadbir dahulu sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, gandingan tersebut merupakan keserasian yang terbaik.

“Gandingan ini akan dapat mengatur langkah dan strategi dengan baik malah saya yakin akan melaksanakan setiap perancangan dengan baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!