Bukit Maras bakal berwajah baharu
KUALA NERUS - Bukit Maras di sini yang menjadi syurga bagi peminat sukan lasak dan pendaki dari seluruh dunia bakal berwajah baharu apabila projek menaik taraf beberapa kemudahan awam sedang dilaksanakan di bukit tersebut.
Operator Bukit Maras, Anuar Ngah menyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memberi peruntukan bernilai RM200,000 untuk menaik taraf kemudahan di bukit tersebut yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
"Antara kemudahan yang disediakan ialah menara tinjau, tandas dan pusat informasi sebagai daya tarikan baharu di Bukit Maras.
"Selain itu, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus juga akan menyediakan dua lot gerai jualan bagi memberi peluang kepada pengunjung menjamu selera secara santai di atas puncak bukit berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di puncak Bukit Maras di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, ketika ini, dianggarkan lebih 1,000 pengunjung akan datang ke puncak Bukit Maras pada hujung minggu.
Justeru, Anuar berkata, beliau optimis bahawa jumlah kedatangan pengunjung akan meningkat sekali ganda apabila semua kemudahan tersebut siap tidak lama lagi.
"Di sini pendaki berpeluang melihat keindahan matahari terbit dan boleh melihat Pulau Redang dan Pulau Bidong dari jauh.
"Selain itu, turut kelihatan pemandangan laut, sawah dan bandar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dari atas puncak.
"Berdasarkan rekod, setakat ini pengunjung dari 53 negara pernah datang sehingga ke atas puncak bukit ini. Jadi diharapkan dengan penambahbaikkan kemudahan di sini mampu memberi keselesaan kepada pengunjung sekali gus dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sini," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Feza Jusoh, 37, menyatakan dia tidak melepaskan peluang untuk mendaki ke atas puncak Bukit Maras pada setiap hujung minggu.
"Sememangnya setiap cuti pada hujung minggu memang saya akan datang ke sini untuk mendaki. Sememangnya tempat ini sangat menyenangkan kerana pemandangannya bukan sahaja indah malah dapat menikmati udara segaar dari atas puncak bukit.
"Selain menikmati keindahan pemandangan di sini pada masa sama dapat beriadah sekali gus dapat menyihatkan tubuh badan malah beri kesan positif terhadap kesihatan fizikal serta mental," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!