PSK mungkin tanggung akibat enggan buka akaun bank khas - MOM

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia kali ke-211 & Perhimpunan Agung MOM ke-43 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Sabtu. Foto Bernama
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia kali ke-211 & Perhimpunan Agung MOM ke-43 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Sukan Kebangsaan (PSK) mungkin menanggung akibat sekiranya enggan membuka akaun bank khas jika mahu menerima dana daripada kerajaan, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Mohd Nazifuddin berkata, PSK bagaimanapun mempunyai ruang berbincang bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sekiranya mereka mempunyai masalah berbuat demikian.

“Kita tak tahu setiap PSK mengalami situasi berbeza. Ada yang akaun mereka mempunyai masalah, seperti kemungkinan ada perubahan dalam ahli lembaga atau bendahari. Jadi ada isu dalam pertukaran akaun dan sebagainya.

“Kita lihat perkara ini sebagai proses yang menyeluruh, KBS akan buat satu garis panduan yang lebih terperinci untuk semua PSK terima bantuan dari KBS. Jadi itu terpulang pada mereka, jika tak boleh ikut garis panduan, baru ia jadi sebab tak diberi bantuan, mungkin itu akan jadi akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat MOM kali ke-211 dan Perhimpunan Agung MOM ke-43, di sini pada Sabtu.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, rata-rata persatuan enggan membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya sebagai syarat utama untuk menerima kemasukan dana daripada kerajaan.

Pada Jun lepas, KBS memperkenalkan semula penyaluran peruntukan melalui kaedah pemberian kuasa bagi mengurus dan meningkatkan tadbir urus dana yang mereka terima.

PSK terpilih perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan KBS seperti mewujudkan akaun khas bagi penerimaan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), serta membenarkan akaun berkenaan diaudit oleh juruaudit dilantik MSN. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!