MTL: Lengkapkan alatan kecemasan PLB - Maritim Malaysia
PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan persediaan peralatan keselamatan termasuklah Personal Locator Beacon (PLB) sebagai peranti kecemasan berasaskan satelit ketika melakukan aktiviti di laut terutama semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).
Peranti berasaskan satelit ini mampu menentukan lokasi dan waktu kecemasan dengan tepat.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, lebih 1,000 kemalangan di laut termasuk insiden membawa maut direkodkan pada tahun ini.
Menurutnya, angka tersebut dijangka bertambah susulan musim MTL yang sedang melanda negara.
"Komuniti maritim diminta berwaspada dengan sebarang perubahan cuaca dan amaran dikeluarkan berkaitan keadaan laut bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini seperti kemalangan jiwa.
"Oleh itu, penggunaan jaket keselamatan dan peralatan tambahan seperti PLB adalah penting bagi memudahkan urusan mencari dan menyelamat," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia 2024 di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu di sini pada Sabtu.
Dalam program itu, seramai 80 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk Sinar Harian terlibat dalam pertandingan menembak bagi kategori 'precision' individu dan kumpulan selain jatuh piring berkumpulan.
Mengulas lanjut, kata beliau, di penghujung tahun ini, MTL merupakan suatu perkara yang perlu diambil serius bagi mengelak kemalangan jiwa di lautan.
Katanya, selain itu, selain persediaan di laut, Maritim Malaysia turut bersedia dalam konteks khidmat udara.
"Pasukan udara Maritim Malaysia bersedia membantu dalam menyampaikan bekalan makanan terutama di kawasan yang sukar untuk dicapai menggunakan kenderaan darat atau bot," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan MTL dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!