'Tunjuk keikhlasan jika mahu kerjasama, usah maki hamun setiap hari' - Armizan

Armizan
Armizan
A
A
A

PAPAR - Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berpandangan jika ada parti yang ingin bekerjasama dengan gabungan tersebut ia sepatutnya dimulakan sekarang tanpa menunggu Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.

Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, parti yang ingin menjalin kerjasama haruslah menunjukkan keikhlasan dan bukannya memaki hamun kerajaan yang dipimpin GRS ketika ini.

"Bagi saya, kalau ada mana-mana pihak yang merasakan mereka ingin merintis kerjasama dengan GRS, tidak payah tunggu pilihan raya, sekarang kita ada tempoh setahun lagi.

"Bekerjasama dengan kerajaan, tunjukkan keikhlasan itu, bukannya mahu bekerjasama, tapi tiap-tiap hari maki hamun, hentam kita," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Jalan Lok Kawi-Sabindo, di sini pada Sabtu.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada kemungkinan Parti Warisan (Warisan) akan bekerjasama dengan GRS.

Beliau yang juga ahli Parlimen mewakili GRS berkata, kerajaan yang dipimpin GRS ketika ini bersedia untuk menerima kritikan yang membina daripada mana-mana pihak.

"Kalau bagi kritikan yang konstruktif, tidak ada masalah, tidak ada isu. Tetapi kadang-kadang bercakap seolah-olah orang tertentu ini tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.

"Jadi mari kita bekerja bersama-sama, cakap berpada-pada. Kita tawarkan kepada rakyat track rekod berdasarkan tahun kita memegang kuasa itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, soal kerjasama bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi GRS kerana dalam gabungan tersebut mempunyai pelbagai parti lain.

"Saya ini pemimpin kecil saja, apa-apa pun keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi GRS kerana GRS ini adalah sebuah parti tempatan gabungan lokal yang dianggotai oleh pelbagai parti.

"Jadi kita tidak memutuskan bersendirian, tetapi kita akan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!