Kementerian Pengangkutan utama penambahbaikan di Labuan

Anthony ketika lawatan kerjanya ke pelabuhan Labuan pada Sabtu. Foto Bernama
Anthony ketika lawatan kerjanya ke pelabuhan Labuan pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Kementerian Pengangkutan (MoT) komited untuk memajukan kemudahan pelabuhan Labuan agar ia menjadi pelabuhan yang berdaya saing, mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk ekonomi di pulau itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memuji pengendali pelabuhan berkenaan, Labuan Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) berikutan peningkatan ketara dalam kecekapan dan kualiti perkhidmatannya sejak mula beroperasi pada 2020.

"Saya telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam prestasi pelabuhan Labuan di bawah Megah Port Management berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila ketidakcekapan sering menjadi kebimbangan.

Syarikat tersebut telah melabur RM25 juta dalam jentera baharu dan penambahbaikan infrastruktur, sekali gus menjulang operasi pelabuhan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke pelabuhan Labuan pada Sabtu.

Anthony berkata, penambahan baru-baru ini seperti kren mudah alih telah melonjak kapasiti dan kecekapan pengendalian kargo pelabuhan itu.

"Pelabuhan itu kini beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu berbeza dengan jadual sebelum ini iaitu 8 pagi hingga 10 malam, yang merupakan anjakan positif ke arah menambah baik masa pemulihan.

"Kami gembira dengan kemajuan dalam produktiviti ini,” katanya.

Anthony menekankan MPM sedang beroperasi melalui kontrak pengurusan selama enam tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mencadangkan bahawa tempoh konsesi yang lebih lama mungkin diperlukan bagi menyokong pelaburan infrastruktur pelabuhan yang signifikan.

"Saya akan membawa perkara ini kepada kabinet tidak lama lagi disebabkan konsesi yang lebih panjang akan membolehkan penambahbaikan selanjutnya di pelabuhan termasuk pembaikan jeti yang semakin tua,” katanya.

Memandangkan lokasi strategik pelabuhan Labuan di Asia, Anthony berkata, ia berpotensi dalam memberi perkhidmatan kepada kapal pesiar selain menarik lebih banyak kapal asing dan peluang ekonomi untuk rantau ini.

"Menaik taraf kapasiti jeti akan membolehkan kami menampung kapal pesiar, seterusnya meletakkan Labuan sebagai destinasi yang mengalu-alukan pelancong antarabangsa,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!