Lecce pecat Gotti susulan prestasi hambar
KELAB Serie A Itali, Lecce memecat pengendalinya, Luca Gotti pada Sabtu susulan prestasi hambar Salentini selepas mengharungi 12 perlawanan.
Keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Empoli di Stadio Via del mare, menyaksikan Lecce menggelongsor ke zon penyingkiran Serie A.
Lecce, di kedudukan ke-18 liga dengan sembilan mata kali terakhir meraih kemenangan semasa menjinakkan Verona, 1-0 pada 30 Oktober lalu.
“US Lecce mengumumkan bahawa telah melepaskan Luca Gotti daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad utama hari ini.
“Kami amat berterima kasih kepada Gotti atas kerja yang dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan profesionalisme, komitmen dan dedikasi, mendoakan yang terbaik untuk kepadanya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Gotti yang berusia 57 tahun, merupakan bekas jurulatih Udinese dan Spezia dilantik pada Mac menggantikan Roberto D'Aversa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!