Singapura rampas satu tan produk diimport secara haram dari Malaysia
SINGAPURA - Kira-kira satu tan produk segar dan makanan proses yang diimport secara haram dari Malaysia telah dirampas oleh pihak berkuasa Singapura berikutan operasi bersama selama dua hari di Pusat Pemeriksaan Woodlands minggu ini.
Semasa operasi pada 6 dan 7 November, pegawai dari Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyedari terdapat percanggahan dalam konsainan yang diangkut oleh dua trak dan merujuknya kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk pemeriksaan lanjut.
"SFA kemudian menemukan hasil yang tidak diisytiharkan dan yang diisytihar dengan kurang tepat, termasuk tomato, daun bawang, salad aisberg, kubis bunga potong, dan hirisan lemon yang diimport oleh dua pengimport dalam dua trak itu. Semua hasil import secara haram telah dirampas," kata SFA dan ICA dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.
SFA akan menjalankan siasatan lanjut.
Di Singapura, semua import makanan mesti mematuhi peraturan SFA. Hanya pengimport berlesen dibenarkan membawa masuk makanan ke negara ini, dan setiap konsainan mesti diisytihar serta disertakan dengan permit import yang sah.
Pesalah yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram berdepan denda maksimum S$10,000 dan/atau penjara hingga tiga tahun.
Mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran yang diproses secara haram boleh didenda sehingga S$1,000, dengan denda sehingga S$2,000 bagi sabitan berikutnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!