Mangsa buruh paksa jambatan kereta api maut, Arumugam meninggal dunia
SEREMBAN - Mangsa tertua yang terselamat dalam tragedi buruh paksa projek pembinaan jambatan kereta api maut di antara Thailand dan Myanmar semasa perang dunia kedua, K Arumugam, 97, meninggal dunia hari ini pada 3.26 pagi.
A Sudhagaran, 45, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.
"Kami amat berdukacita dengan pemergiannya kerana beliau seorang yang penyayang kepada anak, cucu dan cicitnya. Beliau adalah wira kami. Sejak pemergian ibu 16 tahun lepas, beliau telah menjaga kami dengan sebaik mungkin.
"Saya amat berterima kasih dengan cara didikan kedua ibu bapa kami yang menyebabkan semua adik-beradik berjaya dalam kerjaya masing-masing termasuk cucu dan cicit. Kami akan begitu merindui beliau," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sudhagaran juga berkata, daya ingatan Arumugam masih kuat meskipun sudah berusia hampir 100 tahun dan mendiang sering dijemput memberi ceramah kepada pelajar di beberapa sekolah di Negeri Sembilan.
Mendiang meninggalkan 13 anak, 38 cucu dan 21 cicit.
Ahli keluarga dan kenalan Arumugam boleh memberi penghormatan terakhir mereka di kediaman keluarga mendiang iaitu Rumah Rakyat di Linggi, Port Dickson manakala upacara pembakaran akan berlangsung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!