Anwar akan sampaikan syarahan di Universiti Al-Azhar, fokus pemerkasaan umat Islam
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar Al-Sharif di Kaherah, Mesir pada Ahad, menekankan usaha pemerkasaan umat Islam melalui teknologi, kemasyarakatan dan ekonomi.
Anwar yang memulakan lawatan rasmi pada Sabtu akan menyampaikan ceramah bertajuk, 'Gagah Bersama: Pandang Alam Umat dari Sudut Pemerkasaan Teknologi, Kemasyarakatan dan Ekonomi' di institusi pengajian Islam tertua dan paling berprestij di dunia itu.
Menerusi catatan di Facebook, Universiti Al-Azhar Al-Sharif berkata, majlis itu bertujuan meraikan hubungan erat Malaysia dan universiti terkemuka Timur Tengah berkenaan.
Timbalan Sheikh al-Azhar, Prof Dr Muhammad Abdul Rahman Muhammad al-Duwaini; Rektor al-Azhar al-Sharif, Prof Dr Salama Dawood; pengurusan kanan universiti dan diplomat asing, ekspatriat dan pelajar Malaysia dijangka hadir pada syarahan itu.
Anwar akan memulakan lawatan rasmi empat hari ke Mesir bermula hari ini hingga 12 November ini atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian berkata, lawatan itu bakal melakar sejarah penting hubungan persaudaraan Malaysia dan Mesir.
Lawatan itu akan membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama serta memperkukuh asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!