Pasangan kekasih berhabis RM1.3 juta jadi K Pop, patung animasi
LONDON - Hanya kerana mahu kelihatan seperti patung dan bintang K-pop, pasangan kekasih sanggup menghabiskan 250,000 pound (RM1.3 juta) bagi menjalani puluhan pembedahan kosmetik.
Oli London, 30, dan Angelique ‘Frenchy' Morgan, 44, sudah menjalani 24 pembedahan hanya semata-mata untuk mendapatkan wajah seperti penyanyi kumpulan terkenal Korea Selatan BTS, Park Ji-min dan patung animasi hidup.
London yang terlalu obses dengan Park Ji-min juga dikatakan sanggup 'berkahwin' dengan keratan kotak bintang K-pop itu di Las Vegas sehingga mengundang cemburu pada pasangannya, lapor Daily Mail yang memetik sumber.
Pasangan yang kini menetap di United Kingdom itu telah menghabiskan suku juta wang mereka membuat pembedahan di bahagian dagu, pemutihan kulit dan mereka bentuk semula kawasan mata.
Dalam pada itu, London berkata, dia mula menjalankan pembedahan kosmetik sejak 2013 yang sudah pun ke Korea Selatan, Poland dan China hanya kerana mahu kelihatan seperti Park Ji-min.
“Saya suka dengan penampilan ini dan ketika saya bertemu Morgan, dia juga sudah melakukan suntikan botox pada payudara.
“Morgan juga faham dengan keinginan saya menukar penampilan saya untuk menjadi bintang K-Pop manakala dia akan memastikan dirinya sentiasa kelihatan seperti patung anime.
"Walaupun terpaksa menghabiskan wang yang banyak demi impian itu, kami sedikit pun tidak terkilan malah kami masih mahu melakukan transformasi diri pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Morgan pula berkata, mereka tidak melihat ada tempoh masa bagi pembedahan kosmetik dan masih berharap untuk meneruskannya pada masa akan datang.
"Obsesi kami terhadap pembedahan plastik bukan membuatkan perhubungan kami sukar malah lebih menguatkan kami. Saya suka dengan apa lakukan dan dia pun suka dengan apa yang saya lakukan.
“Pembedahan kosmetik ini akan diteruskan dan saya berharap satu hari nanti penampilan serta wajah kami sama seperti idola,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!