Anak muda tidak lagi minat tuntut ilmu di masjid
SHAH ALAM - Teknologi terkini membolehkan orang ramai mendalami ilmu agama termasuk membaca al-Quran dengan lebih mudah dan cepat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman bagaimanapun berkata, ia menyebabkan anak muda tidak lagi berminat untuk datang ke masjid bagi menambah ilmu agama.
Menurutnya, belajar agama semata-mata menerusi medium terkini jelas akan memberikan implikasi negatif kepada generasi akan datang.
“Zaman sekarang ada yang belajar menerusi YouTube atau TikTok, sehinggakan masjid pun sudah tak pergi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, belajar ilmu agama termasuk pembelajaran al-Quran secara bersemuka dengan guru terlatih merupakan asas yang tidak boleh diketepikan.
“Apabila kita belajar al-Quran, kita perlu berguru. Perlu kaedah talaqqi musyafahah iaitu belajar al-Quran secara bersemuka dengan kaedah penyampaian dan pengajaran secara langsung daripada guru kepada pelajar untuk memperbetulkan bacaan serta memahami ayat-ayat dan sebagainya,” kata beliau.
Katanya, sekiranya hanya berpandukan kepada media sosial atau ChatGPT, individu terbabit tidak akan dapat dibimbing apabila berlaku kesilapan.
“Contohnya, kita tidak dapat memperbetulkan bacaan ayat al-Quran yang silap. ChatGPT merupakan sistem yang menghimpunkan maklumat. Maklumat tersebut dimasukkan ke dalam sistem berkenaan tanpa sebarang penapisan.
“Kemungkinan berlaku kesilapan adalah tinggi. Terutama apabila melibatkan perkara sensitif seperti ayat suci al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, sudah tentu ia beri implikasi negatif,” ujar beliau.
Mohd Sukki bagaimanapun berkata, mempelajari ilmu agama menerusi teknologi AI boleh dijadikan sebagai alat bantu tambahan, tetapi bukan sebagai sumber primer.
“Tidak menjadi kesalahan sekiranya individu merujuk kepada AI sebagai bantuan tambahan, namun bimbingan guru masih diperlukan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya peka terhadap penggunaan AI kerana teknologi itu hanya menyerap maklumat tetapi tidak berupaya berfikir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!