Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari wajar ditakluki

Novel Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari karya SM Noor menggembleng watak wanita sebagai teraju utama untuk disajikan kepada pembaca.
Novel Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari karya SM Noor menggembleng watak wanita sebagai teraju utama untuk disajikan kepada pembaca.
A
A
A

APAKAH judul novel Melayu terkini yang diingati pembaca? Bagaimana novel dapat membangun kemuliaan peribadi, dan asuhan jiwa? Watak yang digembleng pengarang pula adakah benar dapat membugar rasa dan mempertajam akal budi dalam mendepani cabaran semasa?

Begitu yang sewajarnya dicari pembaca tatkala menghadamkan karya sastera. Maka, apakah yang dihidangkan novel berlambak di pasaran hari ini untuk khalayak pembaca?

Menerusi bacaan, sejauh mana watak wanita digubah pengarang lelaki dalam novel dapat membawa aura positif dan mandiri? Justeru, novel Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024) sewajarnya ditakluki.

Novel itu hasil karya penulis mapan iaitu Syed Mohammad Nor Tuan Long atau nama penanya, SM Noor. Beliau merupakan penulis prolifik yang tekun berkarya demi anak bangsanya.

Lantaran anak kelahiran tanah Darul Iman itu merupakan penulis yang terlibat dalam banyak genre iaitu turut menghasilkan cerpen, sajak dan drama. Beliau gigih menulis sejak 1960-an sehingga kini.

Antara hasil novelnya yang lain termasuklah Tertuduh (1967), Tebaran Malam (1981), Angin Pijar (1994), Infitar (2003), Pasir Lintang (2014), dan Hujan Dinihari (2017).

Novel Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari merupakan novel ketujuh hasil karya pengarang yang pernah menyumbang bakti sebagai Ketua Satu dalam Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).

Novel tersebut menggembleng watak wanita sebagai teraju utama untuk disajikan kepada pembaca. Nilai-nilai luhur diserlahkan dalam novel itu sesungguhnya dapat membawa perutusan berguna untuk generasi muda.

Artikel Berkaitan:

Garapan watak Engku Zariah yang kental dan cekal mengharungi dugaan yang melanda. Sosok ibu dan isteri yang berjuang bukan hanya untuk diri, bahkan untuk kelestarian generasinya. Isu tentang pemugaran aluminium dan kesannya kepada penduduk setempat dikemukakan pengarang sebagai taakulan.

Novel tersebut merakamkan kisah Engku Zariah berlatar belakang keturunan bangsawan dan pencinta seni tenun, namun berdepan ujian bukan kepalang. Pernikahan tidak direstui keluarga dengan anggota tentera membawa dirinya tercampak ke tanah peneroka.

Wanita itu menjadi balu yang gigih membesarkan dua anak lelaki setelah suaminya meninggal dunia. Kecekalan Engku Zariah mengharungi siri ujian dalam hidup memperlihatkan perutusan berguna untuk khalayak pembaca menguliti novel terbaharu ini.

Dengan garapan bahasa dan gaya bahasa bersesuaian, novel tersebut cocok dihadamkan semua lapisan masyarakat. Pelukisan watak Engku Zariah sebagai wanita memiliki keperibadian mulia terserlah sebagaimana petikan berikut:

Engku Zariah terus membelek-belek lembaran kenangan lalu. Dia bukannya daripada keluarga sukar, kalaupun tidak begitu senang seperti keluarga bapa saudaranya.

Ayahandanya, Engku Zainal Abidin dikenali sebagai Ku Din Muar mempunyai titih kerabat walaupun agak jauh.

Seingatnya, orang tuanya itu gemar berdagang batik dan songket ke selatan tanah air, malah sehingga ke Singapura.

Sementara ibunya, Che Maimunah pula ralit dengan kerja tenunan songket secara sambilan bersama-sama tetangga. Walaupun sederhana, mereka sekeluarga hidup bahagia.

Saat-saat mengingati kedua-dua orang tuanya yang sudah lama meninggal itu perlahan-lahan dia membaca surah al-Fatihah sebagai hadiah.

Itu pun sudah menjadi satu kebiasaannya sejak sekian lama. Kebiasaan itu dipanjangkan juga setiap kali mengenang arwah suaminya (SM Noor, 2024: 138-139).

Olahan pengarang menampilkan sahsiah diri Engku Zariah dengan nilai terpuji sewajarnya menjadi contoh teladan kepada pembaca. Ciri-ciri wanita Muslimah yang reda, sabar dan yakin dengan qada’ dapat dijadikan sandaran dalam kehidupan.

Walau apa pun kekangan menimpa, sebagai hamba Tuhan harus menghadapinya dengan kesabaran. Novel tersebut mengajak pembaca bersiap siaga berdepan selirat permasalahan kehidupan, namun berusaha mencari jalan penyelesaian berlandaskan agama dan keyakinan kepada keagungan ALLAH Ya Mutakabbir.

Malah, sisipan tentang tenunan songket juga amat menarik untuk diteliti kerana dapat menawarkan ilmu warisan tradisi kepada pembaca. Cuma alangkah baiknya jika plot tenunan songket diperkaya dalam novel kerana perihal demikian amat langka dalam karya sastera Melayu.

Justeru, bagi yang mencari novel Melayu terbaharu untuk tatapan seisi keluarga, silalah dapatkan Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari di kedai buku berhampiran.

Banyak dapat diperoleh daripada pengarang yang turut mendapat pengiktirafan hadiah sastera sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Novel itu turut mengkritik pemimpin korupsi yang mementingkan kapitalis berbanding nilai tradisi dan integriti.

Hal-hal sebegitu sewajarnya menjadi medan anak muda memahami takah perjalanan yang sarat ujian dengan bekalan raksasa perjuangan, keimanan dan kesabaran.

Gelora permasalahan menghunjam manusia di muka bumi ini sebenarnya adalah untuk menguji ketakwaan sebagai hamba Tuhan. Tautan hubungan manusia dengan Yang Maha Pencipta (habl min ALLAH), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam) terserlah dalam novel tersebut.

Judul novel itu juga memiliki seni tersendiri. Dengan gabungan rima dan bunyi huruf ‘i’ iaitu ‘berdiri’ dan ‘mentari’ telah membawa keindahan serta tamsilan.Ia sangat bermakna bagi generasi muda memahami keluk perjalanan dan liku kehidupan yang memerlukan segerombolan ketahanan untuk tekal berjuang.

Sebagaimana ungkapan dalam novel itu — ‘adakah mampu seorang perempuan menjadi pemberani untuk mempertahankan haknya? Tiba-tiba lintasan itu menjadi sangat angkuh memaksanya.

Siapakah lagi yang boleh diharapkan menghulurkan tangan ketika dia terduduk kelelahan? Ayuh dapatkan novel Perempuan Yang Berdiri Dalam Pijar Mentari di pasaran!

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga merupakan Kolabarator dalam melakukan penyelidikan di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!