Wang tunai RM1 juta hilang: Dua pengawal keselamatan dibebaskan
AMPANG JAYA - Dua pengawal keselamatan yang ditahan sebelum ini bagi siasatan lanjut berkaitan kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta dekat Ampang Point dibebaskan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek masing-masing merupakan lelaki dan wanita berumur 52 tahun serta 38 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.
"Siasatan telah selesai dijalankan dan kertas siasatan sedang dikemas kini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini dua pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kehilangan beg berisi wang tunai terbabit.
Terdahulu, polis memaklumkan beg berisi wang tunai berkenaan yang dilaporkan hilang telah ditemui hari sama di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati wang berkenaan ditemui oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!