Pembinaan WCE beri manfaat kepada penduduk Pontian
PONTIAN - Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah melalui Pontian akan memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk daerah ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara manfaat tersebut ialah pelebaran dan penambahbaikan jalan raya di kawasan berkenaan.
"Sebagaimana yang sudah berlaku di utara seperti Teluk Intan sampai ke Bagan Datuk terus ke Tanjung karang, dan juga Sabak Bernam, Sungai Besar sampai ke Banting.
"WCE akan disambung ke selatan. Jadi, apabila WCE melalui daerah seperti Pontian, yang mana jalan raya di daerah ini suatu ketika nanti mungkin akan menjadi kepada empat lorong," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Malaysia Iconic Rally Championship 2024 di Pusat Perdagangan Pontian di sini pada Sabtu.
Ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.
Ketika ini, satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah PLUS yang mula dibuka sejak 1994.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sukan permotoran seperti rally dilihat berpotensi untuk dibangunkan di kawasan bandar daerah itu yang menjadi tumpuan pengunjung.
Beliau berkata, usaha itu sekali gus akan menarik minat pelancong dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!