Masjid Mukim Bahagia, USM bantu penduduk pedalaman rawat mulut dan gigi
KOTA BHARU - Isu kesihatan mulut warga emas dan golongan berpendapatan rendah terutama penduduk kampung merupakan cabaran besar kerana ada di antara mereka yang menghadapi masalah kewangan.
Pengerusi Program Periodontik, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Raja Azman Raja Awang berkata, golongan itu menghadapi kesukaran mengakses rawatan pergigian kerana lokasi terpencil termasuk kesukaran untuk ke kawasan kampung yang memerlukan perjalanan lama menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau perahu.
"Akses internet juga terhad menjadikan pendidikan kesihatan hampir mustahil," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Justeru jelas beliau, usaha pihak pengurusan Masjid Mukim Bahagia dan Pusat Pengajian Sains Pergigian patut dipuji kerana ramai yang mendapat manfaat mendapatkan rawatan pergigian.
"Paling penting penyediaan gigi palsu kepada warga emas," katanya.
Beliau memberitahu, sejak program itu bermula pada 18 Jun lalu, seramai 42 warga emas dan golongan B40 menerima rawatan gigi palsu serta cabutan gigi.
"Selain itu, seramai 40 kanak-kanak terlibat dalam aktiviti pendidikan pergigian bagi memastikan mereka memahami pentingnya penjagaan gigi," katanya.
Masjid Mukim Bahagia yang diketuai Imamnya, Muhamad Sa'ad manakala Pusat Pengajian Sains Pergigian USM dipimpin Dr Raja Azman dengan bantuan Pakar Prostodontik, Dr Noor Huda Ismail.
Selain itu, jelas beliau, pusat pengajian itu turut melibatkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang pengajian termasuk pelajar pergigian dan alumni USM.
Program berkenaan dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Program KPT Prihatin dan disokong oleh Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MediCOM).
"Sokongan masyarakat Kampung Bahagia juga memainkan peranan penting dalam kejayaan program.
"Inisiatif ini tidak hanya memperbaiki kesihatan mulut penduduk tetapi juga menekankan pentingnya kerjasama dalam menangani isu kesihatan di kawasan pedalaman," katanya.
Tambahnya, program berkenaan merupakan contoh bantuan dan kesedaran dapat membawa perubahan positif kepada komuniti yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!