Remaja perempuan maut jatuh dari tingkat 16 pangsapuri
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim di sini pada Sabtu.
Mayat remaja berkenaan ditemui orang awam kira-kira jam 11.45 malam sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Difahamkan, terdapat kesan kelar pada tangan kiri remaja terbabit dan dia dipercayai jatuh dari biliknya di tingkat 16 pangsapuri berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, setakat ini tiada unsur jenayah dalam insiden berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan, kita minta orang ramai jangan buat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis serta sensitiviti keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Swee Sake berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!