One Hope Charity & Welfare rai golongan kurang berkemampuan
BUKIT MERTAJAM - Seramai 8,000 orang golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal, warga emas serta keluarga yang mempunyai ramai tanggungan diraikan dalam Program Tautan Kasih One Hope Charity & Welfare 2024 sempena sambutan ulang tahun ke-22 badan amal itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian dan usaha yang dijalankan badan amal itu bagi membantu serta menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, One Hope Charity & Welfare akan memberikan bantuan sewajarnya dalam meringankan beban masyarakat daripada pelbagai aspek termasuk mereka yang ditimpa ujian dan masalah kesihatan.
"Selama 22 tahun terlibat dalam kerja-kerja amal, pelbagai usaha dan pencapaian yang ditunjukkan oleh One Hope Charity.
"Sistem agihan bantuan yang sistematik serta teratur bersesuaian dengan perubahan masa kini mencerminkan bahawa NGO ini adalah pertubuhan yang progresif dan mengikut peredaran zaman berorientasikan kebajikan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tautan Kasih One Hope Charity & Welfare 2024 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, Menteri Sumber Manusia, Stevem Sim Chee Keong, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Presiden Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yusof Latiff.
Pada majlis itu, setiap penerima sumbangan membawa pulang barangan keperluan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200.
Selain itu, One Hope Charity & Welfare 2024 turut menyumbangkan lima unit lampu digital untuk kegunaan Hospital Bukit Mertajam dan empat unit mesin pemantauan perubatan untuk Hospital Kulim yang keseluruhan bernilai RM337,000.
Sementara itu, Sui Hau berkata, selama 22 tahun One Hope Charity & Welfare tetap berpegang pada kepercayaan kuasa kasih sayang mampu mengubah dunia.
"Walaupun bantuan kami telah meluas ke seluruh negara, pada masa akan datang kami akan terus berusaha memberikan impak yang lebih besar dalam masyarakat.
"Kami berharap dengan semangat berkebajikan ini akan terus mendapat sokongan semua pihak sekaligus turut bersama dalam memenuhi keperluan komuniti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!