SPRM digesa beri perlindungan kepada pemberi maklumat - Zaid Ibrahim

Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang mempunyai bukti video dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, tindakan itu penting bagi menghapuskan keraguan bagi individu yang ingin berbuat demikian.

"Kita harus menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan dan memberitahunya bahawa dia mempunyai perlindungan sepenuhnya.

“Sikap SPRM seperti yang dilaporkan amat dikesali. Jika saya menjadi peguam kepada pemberi maklumat, saya juga akan memintanya untuk tidak mendedahkan skandal itu (sekiranya tiada perlindungan diberikan)," katanya menerusi hantaran di X pada Ahad.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor berkata, pemberi maklumat akan diberi perlindungan mengikut undang-undang.

Menurutnya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jelas memperuntuk perlindungan buat pemberi maklumat dan perlindungan ini tertakluk kepada akta tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!