InsPeK bantu golongan miskin, OKU

Hassan Basri (empat dari kanan) menyampaikan bakul kasih kepada penduduk terpilih.
Hassan Basri (empat dari kanan) menyampaikan bakul kasih kepada penduduk terpilih.
A
A
A

KOTA BHARU - Penubuhan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membantu mengubah kehidupan golongan miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Penyelidikan dan tunjuk ajar dalam perniagaan turut meningkatkan pendapatan usahawan kecil dalam tempoh beberapa tahun bersama institusi itu.

Peniaga kerepek pisang, Noor Haslinda Mohd Noor, 39, berkata, kerjasama bersama UMK dua tahun lalu dapat menambah lebih 50 peratus permintaan kerepek pisangnya.

"Sebelum ini pasaran kerepek saya agak terhad kerana pelanggan hanya dalam kalangan penduduk dan rakan-rakan terdekat.

"Alhamdulillah, pelanggan saya kini lebih meluas dan tidak hanya kepada golongan tertentu sahaja," katanya ketika ditemui pada program InsPeK International Poverty Summit (InsPeK SUMMIT 2024) pada Ahad.

Nur Amirah (tiga dari kanan) bersama peserta OKU program InsPeK SUMMIT 2024 pada Ahad.
Nur Amirah (tiga dari kanan) bersama peserta OKU program InsPeK SUMMIT 2024 pada Ahad.

Noor Haslinda yang sudah lebih 10 tahun berniaga kerepek pisang kini sentiasa berpeluang menyertai program yang dianjurkan pihak pengurusan UMK dan memperkenal produknya kepada orang ramai.

Pengurus Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka), Nur Amirah Lukman juga mengakui kerjasama dengan UMK banyak membantu golongan OKU di Proka Kampung Aur, Telong, Bachok itu berdikari.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerjasama dua tahun lalu juga membolehkan pusat berkenaan mempunyai pelanggan tetap yang menempah beberapa produk termasuk perabot dan ternakan ayam kampung.

"Kemahiran dan cara kerja OKU di sini juga semakin sistematik melalui tunjuk ajar yang diberikan," katanya.

Beliau memberitahu, mereka kini mampu menjana pendapatan lebih 90 peratus melalui kaedah yang diperkenalkan UMK.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan ketika berucap merasmikan majlis itu memberitahu, InsPeK UMK berjaya mengurangkan jurang dalam kalangan masyarakat rentan.

"Sebelum ini mereka terasa disisihkan namun melalui institut berkenaan khususnya konsep pemetaan kemiskinan yang diperkenalkan mendorong kelompok berkenaan menggilap potensi diri sehingga mampu membanggakan keluarga," katanya.

Bagaimanapun jelas Hassan Basri, usaha itu berhasil selepas mendapat sokongan lebih 50 pemegang taruh yang terdiri daripada agensi kerajaan, pihak korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!